Sekolah Menengah Kebangsaan Muadzam Shah terletak di Bandar Baru Muadzam Shah dan merupakan sekolah menengah yang pertama dibina di Bandar ini iaitu pada tahun 1983. Kewujudannya sebagai sebuah sekolah berasrama amat diperlukan oleh penduduk disekitarnya seperti Kota Bahagia (20 km), Kota Perdana (25 km), Keratong 7, 8, 9 dan 10 (25-30 km), Chanis (40 km), Cenderawasih (50 km), Kedaik (42 km) dan Selancar (70 km).Bermula pada tahun 1991 barulah beberapa sekolah menengah lain dibina seperti SMK Perwira Jaya (1991), SMK Perantau Damai (1994) dan SMK Chanis (1997).Dengan wujudnya sekolah-sekolah baru ini bilangan pelajar dapat dikekalkan sekitar 1200 orang. Sekolah ini merupakan sekolah Gred A yang telah dinaikkan tarafnya semenjak tahun 1993 lagi.
Prasarana sekolah
SMK Muadzam Shah telah dibuka pada tahun 1983. Pada masa itu hanya terdapat dua buah bangunan yang terdiri daripada 12 buah bilik darjah, sebuah pejabat, kantin, perpustakaan, 3 buah makmal Sains, 2 buah bengkel Seni Perusahaan dan 2 buah bilik Sains Rumahtangga, 2 blok bangunan asrama serta sebuah dewan makan, 12 unit rumah guru dan sebuah padang permainan. Pada tahun 1984 sebuah lagi bangunan tambahan (bangunan Kilat) telah dibina dengan memperuntukan 6 buah bilik darjah. Pada tahun 1986, sebuah Klinik Pergigian telah disediakan.Memandangkan keperluan pelajar yang semakin meningkat serta perlunya diadakan kelas tingkatan 4 dan 5, pada tahun 1990 dua buah blok bangunan lagi dibina dan terdiri dari sebuah bangunan 3 tingkat untuk bilik darjah dan sebuah bangunan 2 tingkat untuk makmal sains dan bilik darjah. Pada tahun yang sama juga dua buah blok asrama dan sebuah dewan makan dibina bagi menempatkan pelajar-pelajar lelaki. Pada tahun 1994 sebuah surau telah dibina bagi kemudahan pelajar-pelajar untuk bersembahyang dan menjalankan aktiviti keagamaan.
Pelajar
Permulaan sekolah dibuka, terdapat seramai 125 pelajar tingkatan satu dengan peruntukan 4 buah kelas. Pada tahun 1986 bilangan pelajar bertambah kepada 572 orang yang terdiri daripada pelajar tingkatan 1 (6 kelas), tingkatan 2 (6 kelas) dan tingkatan 3 (6 kelas). Dengan kemasukan pelajar-pelajar tingkatan 4 pada tahun 1992, bilangan pelajar telah meningkat. Pada tahun 1993 jumlah pelajar telah mencecah ke angka 1200 orang, memaksa pihak sekolah mengambil langkah mengadakan persekolahan 2 sesi bagi mengatasai masalah kekurangan bilik darjah
Tenaga Pengajar
Terdapat seramai 9 orang guru termasuk pengetua di awal pembukaan sekolah. Jumlahnya meningkat kepada 32 orang guru pada tahun 1986.
Lokasi SMK Muadzam Shah


Peta ini diambil dari Google earth .